Manuel Neuer mungkin perlu meninggalkan Bayern Munich di penghujung musim ini selepas kritikan pedasnya berhubung pemecatan jurulatih penjaga gol kelab itu, kata Stefan Effenberg.

Ketua pasukan Bayern itu berkata pemecatan Toni Tapalovic merupakan perkara paling kejam yang pernah dialami dalam kariernya dan komen berkenaan mendapat teguran keras daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut, Oliver Kahn.

Kahn -- yang juga merupakan bekas penjaga gol Bayern -- berkata kenyataan Neuer itu tidak sesuai dengan peranannya sebagai kapten dan berjanji kelab berkenaan akan menangani komen pemain berusia 36 tahun tersebut.

Tapalovic disingkirkan Bayern sejurus Neuer mengalami patah kaki ketika dalam perjalanan bermain ski pada Disember lalu, iaitu sebaik kempen Piala Dunia buat Jerman berakhir.

Dalam satu temu bual dengan The Athletic yang diterbitkan minggu ini, Neuer berkata berita mengenai pemergian mentornya itu adalah satu tamparan ketika dia sedang bergelut.

Tapalovic dan pengurus, Julian Nagelsmann, dilaporkan tidak sehaluan dengan Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic yang berkata pada 23 Januari lalu: "Perbezaan, khususnya mengenai cara kami bekerja bersama-sama kini telah memacu kami ke arah yang berlainan."

Bekas pemain tengah Jerman, Effenberg, yang merupakan tokoh penting di Bayern percaya Neuer mungkin perlu memikirkan masa depan di luar Bayern berdasarkan ucapannya itu.

Effenberg menyifatkan ia sebagai wawancara yang mungkin akan menjadi sejarah bola sepak sambil menegaskan Neuer perlu akur bahawa perubahan kejurulatihan berlaku atas sebab tertentu.

"Beginilah caranya dalam kehidupan dan dalam bola sepak," tulis Effenberg di kolum terbitan t-online.

A post shared by Manuel Neuer (@manuelneuer)



"Kadang-kadang kita membawa haluan masing-masing apabila perkara tertentu telah berlaku.

"Mereka yang bertanggungjawab pastinya mempunyai alasan untuk membuat perubahan dan mereka melaksanakannya. FC Bayern membuat keputusan demi masa depan kelab.

"Seorang pemain hanya perlu akur dengan tindakan itu meskipun dia adalah seorang kapten.

"Ini kerana tiada siapa yang boleh mendahului kepentingan kelab. Tiada pemain, tiada jurulatih yang lebih besar daripada Bayern Munich."