Gennaro Gattuso telah meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih Fiorentina selepas dilantik 23 hari lalu.

Kelab Serie A itu mengesahkan semalam bahawa bekas pengendali Napoli itu telah meninggalkan jawatannya atas persetujuan bersama.

"Kelab dalam usaha bagi mengenal pasti individu yang bersesuaian untuk membimbing Viola menuju sasaran dan objektif yang ditetapkan," katanya.

Gattuso, yang mengambil tugas di Fiorentina dua hari selepas meninggalkan Napoli, dilaporkan tidak bersetuju dengan perancangan perpindahan yang ditetapkan kelab.

Ejennya, Jorge Mendes, berkata telah mencadangkan pemain Porto, Sergio Oliveira dan Goncalo Guedes dari Valencia untuk memperkuatkan pasukan, tetapi pengurusan Fiorentina mahu mendapatkan pilihan yang lebih berpatutan.

Menurut La Gazzetta dello Sport, bekas pengendali Lyon, Rudi Garcia, bekas jurulatih Leicester City, Claudio Ranieri dan Walter Mazzarri, baru-baru ini bersama Torino, adalah pilihan menggantikan Gattuso.

Fiorentina menamatkan saingan di tempat ke-13 musim lalu, dengan sembilan kemenangan daripada 38 perlawanan liga.