Tanpa kehadiran pemain-pemain import Melaka United semasa bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim ketika bertemu Johor Darul Ta’zim banyak memberi kesan kepada perancangan Asri Ninggal kerana ia menampakkan kesukaran kepada anak didiknya untuk bersaing dengan skuad kendalian Hector Bidoglio itu.

Ia berdasarkan persembahan yang dipamerkan pemain Sang Kancil apabila mereka tewas dengan jumlah jaringan yang besar dan tidak bermain seperti kebiasaan sebagaimana pertemuan terdahulu.

Jika diperhatikan ketika perlawanan pusingan pertama dahulu, Sang Kancil berjaya memberikan saingan kepada Harimau Selatan sehingga memberi tekanan kepada juara liga musim lalu itu, di mana anak didik Asri berkenaan bermain dengan ‘high intensity’ dengan memulakan tekanan dari bahagian hadapan dan berjaya menyaingi bahagian midfield untuk mendominasi permainan.

Tetapi ia berbeza ketika bermain di Stadium Sultan Ibrahim semalam, di mana Sang Kancil agak longlai sehingga tidak berjaya untuk mengekang setiap gerakkan JDT.

Atas kelemahan itu, pemain-pemain Harimau Selatan bijak mengambil kesempatan untuk mendominasi permainan dan memberi tekanan dari minit pertama.

Kecerdikan Natxo Insa dan Leandro Velazquez mempelbagaikan corak permainan memberikan ruang kepada Bergson da Silva dan Fernando Forestieri mencari ruang bagi memudahkan mereka untuk melakukan penyudah.

Dengan kepantasan dan persefahaman yang baik di antara mereka, ia telah membuahkan hasil untuk Harimau Selatan sehingga Bergson berjaya melakukan hatrik sementara Foresteiri pula dengan satu jaringan.

Gandingan dua pemain ini dilihat semakin mengganas apabila diberikan ruang kepada mereka kerana kedua-dua pemain ini pandai menghidu peluang dan pantas dalam membuat keputusan untuk mematikan langkah penjaga gol lawan.
Dengan kebijaksanaan mereka, ia juga menjadikan kedua-dua pemain ini sebagai senjata utama JDT dalam memburu jaringan kerana di dalam minda mereka sudah tersemat yang kemenangan itu penting bagi Harimau Selatan dalam setiap perlawanan.

Itu dibuktikan dalam pertemuan semalam, di mana kedua-dua pemain ini menjadi pemusnah buat Sang Kancil.