TOULOUSE 0 PSG 3

Christophe Galtier tetap lebih cenderung untuk menambah pertahanan dalam skuad Paris Saint-Germain (PSG) sebelum jendela perpindahan ditutup walaupun pasukannya melakar kemenangan ke atas Toulouse.


Juara Ligue 1 itu terpaksa berpuas hati diikat 1-1 menentang Monaco di tempat sendiri, hujung minggu lalu, sebelum mengamuk 3-0 di laman seteru awal pagi tadi.

Neymar, Kylian Mbappe dan Juan Bernat menemui sentuhan pemusnah dalam perlawanan yang menyaksikan PSG melepaskan 20 percubaan dengan 13 daripadanya menuju ke sasaran.

Margin kemenangan akan menjadi lebih besar sekiranya bukan disebabkan persembahan hebat daripada penjaga gol Toulouse, Maxime Dupe, yang menghasilkan sembilan penyelamatan.

Toulouse melancarkan 14 pukulan percubaan dalam permainan terbuka dengan tujuh daripada tepat ke sasaran, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai benteng PSG sekalipun berhasil mempamerkan keunggulan mereka.

Ditanya sama ada dia gembira dengan sumber yang ada untuk mengharungi baki musim ini tanpa menandatangani pertahanan lain sebelum tarikh akhir awal pagi esok, Galtier menjawab: "Adalah lebih baik untuk memilikinya (pertahanan baharu).

"Ia adalah lebih baik. Kami sentiasa menginginkannya. Kita akan melihat apa yang akan berlaku."




Begitupun, Galtier enggan menyatakan adakah bek tengah Inter, Milan Skriniar, masih sempat dipancing.

"Jendela perpindahan masih terbuka. Tetapi anda tidak sepatutnya bertanya kepada saya soalan itu," jawab Galtier mengenai pemain antarabangsa Slovakia itu.

"Saya sentiasa meminta untuk kekal fokus dalam persediaan untuk perlawanan."