Pertahanan import Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco, percaya skuad warga kota mampu untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super 2024/2025.

Pemain itu menganggap gabungan pemain lama dan baru yang memperkuatkan pasukan mampu menterjemahkan keputusan lebih baik berbanding musim lalu.

Gallifuoco dalam perkembangan sama turut mengakui dia dan rakan sepasukan sudah siap sedia untuk memulakan kempen Liga Super menentang Kuching City di Cheras Ahad ini.

Untuk rekod, musim lalu ‘The City Boys’ menamatkan saingan liga di kedudukan ketujuh, muncul naib juara Piala FA selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Kehadiran Brendan Gan cukup baik buat pasukan, kami telah mula menyesuaikan diri dalam gelanggang," kata Gallifuoco.

"Kami juga memiliki barisan pemain telah yang lama bersama pasukan, saya percaya kami mampu menampilkan pencapaian yang lebih baik musim ini.

"Berada dalam kelompok lima terbaik adalah sesuatu yang kami akan usahakan, kami yakin untuk melakukannya."