Marcelo Gallardo tetap dengan perancangannya untuk menghabiskan tempoh kontraknya di River Plate walaupun sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Barcelona.

Ronald Koeman merupakan penyandang jawatan ketua jurulatih di Camp Nou tetapi tempohnya kelihatan akan berakhir dalam waktu terdekat walaupun Barca masih belum tewas dalam LaLiga musim ini.

Kekalahan 0-3 kepada Benfica dalam Liga Juara-Juara (UCL) pertengahan minggu ini menyaksikan kelab Sepanyol itu tewas dua perlawanan peringkat kumpulan berturut-turut dalam satu kempen buat kali pertama sejak 21 tahun lalu.

Hubungan Koeman dengan Presiden Barca, Joan Laporta, turut dilaporkan sudah retak, sekali gus meningkatkan spekulasi bahawa pengendali berbangsa Belanda itu akan meninggalkan pasukan berkenaan.

Gallardo merupakan antara calon berpotensi untuk mengambil alih pasukan itu dan bekas pemain kebangsaan Argentina itu memberikan responsnya mengenai spekulasi berkenaan.

Bercakap kepada media menjelang perlawanan menentang Boca Juniors di laman sendiri hujung minggu ini, Gallardo berkata: "Saya sedang fokus kepada Superclasico dan semua orang juga tahu yang keinginan dan keputusan saya adalah untuk melengkapkan tempoh kontrak saya bersama River.

"Saya tiada sebab untuk terganggu dengan perkara lain dan tanggapan orang lain. Saya memiliki kontrak dan komitmen bersama River," katanya.

Kontrak Gallardo bersama majikannya itu akan tamat pada penghujung tahun ini.

Laporan di Sepanyol mendakwa bahawa dia sudahpun ditandatangani oleh Barcelona tetapi pengendali itu enggan mengesahkan spekulasi berkenaan.

"Sama ada mereka sudah menandatangani saya atau tida, apa gunanya untuk saya mendedahkannya?

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan, sasaran saya adalah untuk memenuhi kontrak saya bersama kelab ini.

"Kemudian, kita akan lihat tetapi fokus saya ketika ini adalah untuk perlawanan menentang Boca," tambahnya.