NOTTINGHAM FOREST 2 FULHAM 3

Marco Silva menghamburkan pujian terhadap etika kerja dan perwatakan barisan pemainnya selepas menyaksikan Fulham memadam gol awal untuk mencipta kemenangan 3-2 di Nottingham Forest, awal pagi tadi.


The Whites memadamkan kelebihan awal yang diledak Taiwo Awoniyi apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit separuh masa kedua menerusi Tosin Adarabioyo, Joao Palhinha dan Harrison Reed.




Begitupun, Fulham perlu menggandakan usaha selepas pemain gantian Forest, Lewis O'Brien, memastikan tuan rumah kembali merapatkan jurang tetapi pasukan bimbingan Silva itu selesa mengemudi perlawanan dalam tambahan enam minit untuk mencatat kemenangan pertama mereka di tempat lawan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Kami adalah pasukan terbaik di atas padang.

"Kami layak memungut tiga mata. Ketika kali pertama mereka menceroboh ke dalam kotak penalti kami, mereka memenangi sepakan sudut dan menjaringkan gol. Kami membuat kesilapan pada masa itu, kami tidak agresif seperti yang sepatutnya. Selepas itu, kami menguasai permainan.

"Kami memaksa mereka bertahan, tidak dapat mencipta banyak peluang sementara kami mempunyai beberapa detik berbahaya. Ketika rehat, saya mengarahkan pemain teruskan usaha tetapi lebih pantas, lebih dinamik. Kami jauh lebih agresif, lebih deras kerana selepas itu ruang akan muncul

“Cara kami bangkit selepas separuh masa pertama adalah hebat. Kata-kata terakhir saya kepada pemain sebelum perlawanan ialah mereka perlu menunjukkan karakter. Kami sedar lawan yang dihadapi. Kami mempunyai pemain hebat termasuk di bangku simpanan termasuk penyokong. Kami berjaya."