Bekas ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, dilaporkan akan melengkapkan perpindahannya ke sbuah kelab Liga Malaysia dalam masa terdekat.

Ia bagi menggantikan seorang jurulatih, yang dikatakan gagal mencapai sasaran awal yang ditetapkan pihak pengurusan kelab berkenaan selepas lima perlawanan.

Difahamkan juga, kelab berkenaan merupakan pendatang baru Liga Super musim ini.

Bagi mengulas mengenai perkara itu, Bernhardt, yang kini sedang berada di Malaysia, berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya tidak tahu mengapa nama saya dikaitkan. Saya tidak boleh katakannya bagi pihak saya kerana saya tidak tahu bagaimana ia bermula.

"Sudah pasti buat ketika ini, apabila ada pihak yang berminat, saya terbuka untuk mengadakan perbincangan.

"Saya juga berminat untuk kembali ke negara bola sepak ini.

"Buat masa ini, saya juga ada menerima tawaran dari negara lain, jadi ia masih belum jelas 100 peratus dan saya masih belum menandatangani sebarang kontrak," katanya.