Phil Foden mampu mengubah permainan Manchester City dan boleh menjadi pemisah dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kata rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan.

Musim pertama Foden sebagai pemain utama City telah memberikannya pulangan lumayan, di mana satu jaringannya ketika menewaskan Everton 5-0 hujung minggu lalu turut menyaksikan pemain muda itu telah mengumpulkan 16 gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Ia menyaksikan dia menduduki tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak pasukan itu dengan hanya ketinggalan satu gol di belakang pemain tengah, Gundogan (17).

Foden turut menghasilkan 10 bantuan jaringan -- hanya Kevin De Bruyne (18) mempunyai rekod lebih baik -- dan kelihatan akan memainkan peranan penting buat England menjelang kempen Euro 2020 selepas melakukan penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa.

Terlebih dahulu, dia perlu berdepan Chelsea dalam final UCL-- final pertama City dalam kejohanan itu -- hujung minggu ini dan Gundogan berasakan Foden tidak memerlukan sebarang persiapan istimewa.

"Phil telah menjadi pemain utama kami sepanjang musim ini," kata bekas pemain tengah Borussia Dortmund itu, yang menjaringkan gol ketika Dortmund tewas kepada Bayern Munich dalam aksi final di Wembley pada 2013.

"Dia melakukannya dengan amat baik, dia meningkat dalam pelbagai perincian dalam permainannya, kebanyakannya dengan mengambil keputusan yang tepat dalam waktu getir.

"Bagi umur semuda itu, ia sememangnya sesuatu yang luar biasa. Saya tidak akan menyarankannya untuk mengubah apa-apa daripada apa yang telah dilakukannya sepanjang beberapa minggu lalu. Dia melakukannya dengan amat baik.

"Dia salah seorang yang mampu mengubah permainan kami dan dia boleh melakukannya sekali lagi hujung minggu ini. Tetapi tidak perlu untuk meletakkan sesiapa dalam tekanan kerana semua orang telah melakukan perkara yang betul sepanjang beberapa bulan ini.

"Ia hanya untuk mengekalkan tahap yang sama dan membentuk dan mempamerkan sikap itu dalam permainan," katanya.