Prospek Manchester City, Phil Foden, yakin dengan masa depannya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan tidak memiliki perancangan untuk mengikut jejak langkah Jadon Sancho dan Brahim Diaz dalam mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Pemain B-21 England itu tampil dalam aksi sulung bersama City musim lalu dan telah melakukan 16 penampilan dalam semua kejohanan musim ini, termasuk meledak gol ketika membantu pasukan meraih kemenangan 7-0 ke atas Rotherham United dalam aksi Piala FA, Ahad lalu.

Pemain tengah itu telah menandatangani kontrak jangka panjang dan Pep Guardiola turut mendedahkan minat terhadap corak permainan Foden, namun dia masih lagi belum tampil dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pemain itu tidak mengambil bahagian ketika menewaskan Liverpool 2-1, Khamis lalu.

Diaz secara rasmi menyertai Real Madrid semalam, menjadi bintang muda kedua selepas Sancho terlepas daripada genggaman City.

Sancho menyertai Borussia Dortmund pada 2017 dan memberikan impak dengan menjadi tonggak utama buat pendahulu Bundesliga itu musim ini.

Di samping menyertai skuad senior England pada usia 18 tahun, Foden memilih untuk bersabar dan optimis dia bersama kelab yang tepat untuk membantu meningkatkan mutu permainannya.

"Ia menunjukkan kekuatan yang dimiliki City. Kami dibarisi pemain-pemain bertaraf dunia dan ia merupakan satu tugas yang sukar untuk mendapatkan kesebelasan utama. Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya," kata Foden.

"Ia terpulang kepada mereka (Diaz dan Sancho). Mereka memilih untuk berhijrah dan setiap orang memiliki perancangan yang berbeza.

"Saya melihat masa depan saya bersama City.

"Saya agak terkilan menyaksikan Diaz menyertai Real. Tetapi dia mahu beraksi dalam kesebelasan utama, jadi semoga maju jaya buat dirinya. Saya berharap untuk bertemunya dalam saingan Liga Juara-Juara satu hari nanti," katanya lagi.