VILLARREAL 1 MANCHESTER UNITED 1
(Villarreal juara selepas menang penentuan penalti 11-10)

David de Gea menjadi satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk Villarreal muncul juara Liga Europa (UEL) selepas menewaskan Manchester United di Stadium Gdansk awal pagi tadi.

Gerard Moreno membuka jaringan dalam babak pertama aksi final membosankan di Poland itu bagi menyamai rekod Giuseppe Rossi sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan Yellow Submarine berkenaan dengan 82 gol -- 30 daripadanya dihasilkan musim ini.

Edinson Cavani kemudian menyamakan kedudukan buat United pada awal babak kedua menerusi gol keenamnya daripada lima perlawanan UEL bersama The Red Devils untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan perlawanan diheret ke masa tambahan.

21 pemain menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan kejuaraan itu sehinggalah penjaga gol United, De Gea, melakukan sepakan lemah untuk mudah diselamatkan Geronimo Rulli, sekali gus Villarreal muncul juara selepas memenangi penentuan sepakan penalti 11-10.

Dengan kemenangan itu, Villarreal layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan susulan memenangi kejuaraan utama Eropah buat kali pertama dalam sejarah manakala ketua jurulatih, Unai Emery, melengkapkan gelaran keempatnya dalam kejohanan itu.

Ole Gunnar Solskjaer pula masih gagal memenangi sebarang trofi sepanjang menjadi pengurus United.