Unai Emery sudah mula mengintai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas membimbing Villarreal menikmati kejuaraan utama Eropah buat kali pertama selepas menewaskan Manchester United dalam final Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

Villarreal mencipta kejutan apabila mengatasi United dengan kemenangan 11-10 dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan di Gdansk itu berakhir 1-1 selepas 120 minit.

Jaringan pembukaan Gerard Moreno dalam babak pertama dipadamkan bintang United, Edinson Cavani, pada minit ke-55 untuk pertemuan akhir itu ditentukan dengan sepakan penalti.

Penjaga gol United, David de Gea, merupakan pemain tunggal gagal menyempurnakan sepakan penaltinya untuk Emery menjadi ketua jurulatih pertama memenangi empat gelaran Piala UEFA atau UEL dengan mengatasi rekod Giovanni Trapattoni.

Villarreal juga menjadi pasukan pertama memenangi kejuaraan utama eropah dalam final pertama mereka sejak Shakhtar Donetsk melakukannya dalam Piala UEFA 2008-09.

Villarreal layak beraksi dalam peringkat kumpulan UCL musim depan buat kali pertama sejak musim 2011-12 dan Emery mahu memburu kelangsungan terhadap kejayaan itu.

"Saya berasa bangga (dengan kredibiliti projek ini) dan bertanggungjawab memandangkan saya pernah berada di peringkat ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Apa yang mereka mahukan ketika saya datang ke sini? Mereka tidak mahu saya datang ke sini untuk memenangi UEL kerana ia amat sukar.

"Mereka mahukan saya ke sini untuk melakukan tugas dan tugas itu perlu mendatangkan keputusan yang baik.

"Sebenarnya, sasaran saya, bersama pemain dan kelab ini, adalah untuk memastikan kelangsungannya, harap-harap dengan dapat beraksi di peringkat Eropah untuk tahun ke tahun secara berterusan.

"Secara logiknya, memenangi gelaran sentiasa berada dalam fikiran kami dan apa yang lebih penting, Villarreal membina dan mencipta keadaan untuk mendapatkan peluang ini... dalam Copa del Rey... untuk memenangi gelaran LaLiga lebih rumit kerana tekanan yang dimiliki pasukan empat teratas ketika ini.

"Tetapi kami dapat mencari jalan dalam UEL dan kini kami berpeluang untuk bersaing dalam UCL.

"Musim ini, laluan kami dalam Liga Eropah amat sempurna sejak hari pertama," katanya.