LIVERPOOL 0 REAL MADRID 1

Vinicius Junior menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Paris awal pagi tadi.

Sepak mula perlawanan final itu tertunda lebih setengah jam gara-gara penyokong Liverpool tidak dapat masuk Stade de France, di mana mereka kemudian dapat menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp itu lebih banyak menguasai permainan.

Bagaimanapun, Madrid berhasil memperoleh gol tunggal pada minit ke-59 apabila Vinicius menolak masuk gol keempatnya dalam kejohanan musim ini -- salah satu daripada hanya empat percubaan dilakukan Los Blancos sepanjang perlawanan itu.

Naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, kerap dikecewakan oleh aksi menyelamat gemilang Thibaut Courtois sebelum dan selepas jaringan itu dan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti berkenaan kental bertahan sehingga ke penghujung permainan untuk menjulang trofi Eropah buat kali ke-14 dalam sejarah -- lebih tujuh berbanding mana-mana pasukan.

Liverpool memulakan aksi dengan penuh keyakinan di sebalik kelewatan sepak mula perlawanan itu dan mereka hanya gagal menemui jaringan sepanjang 20 minit pertama disebabkan aksi cemerlang Courtois.

Penjaga gol Madrid itu bertindak segera menafikan usaha Mohamed Salah sebelum menumbuk percubaan keras Sadio Mane ke tiang gol.

Madrid, dalam pada itu, menyangkakan mereka telah memperoleh gol pendahuluan sebelum waktu rehat selepas Karim Benzema memanfaatkan kealpaan benteng lawan untuk menemui jaring tetapi pemain kebangsaan Perancis itu dikesan terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat menafikan jaringan mereka sebelum sejam perlawanan itu, di mana Vinicius menyelinap di belakang Trent Alexander-Arnold untuk menolak masuk lintangan rendah Federico Valverde dari dalam kawasan penalti.

Courtois kemudian menyelamatkan tiga percubaan berbahaya daripada Salah sepanjang 20 minit terakhir bagi memastikan pasukan bimbingan Ancelotti itu terus melebarkan rekod kejuaraan terbanyak dalam kejohanan tertinggi Eropah berkenaan.