Bruno Fernandes percaya Manchester United sedang membina sesuatu yang istimwa di bawah bimbingan Erik ten Hag dan ketua pasukan itu berasa bersyukur pengendali berkenaan masih meletakkan kepercayaan kepada dirinya biarpun mendapat kritikan hebat sewaktu mereka dibelasah Liverpool 7-0 sebelum ini.

Pengurus berbangsa Belanda itu telah mengeluarkan pasukan gergasi Old Trafford berkenaan daripada kemerosotan prestasi untuk kini bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selain memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dalam musim pertamanya memegang peranan itu.

Ten Hag kini berpeluang untuk menamatkan kempen dengan nota positif seandainya dapat memenangi piala domestik kedua dengan menewaskan pasukan yang sedang memburu gelaran 'treble', Manchester City, dalam final Piala FA di Wambley malam ini.

Pertembungan dua pasukan Manchester itu akan menjanjikan sesuatu yang istimwa dan Fernandes, yang dijangka akan mengetuai barisan pemain United dalam perlawanan itu, percaya perlawanan berkenaan dapat menjadi pemangkin buat kejayaan selanjutnya pada masa akan datang.

"Ia perlawanan yang penting buat kami, juga buat pembangunan kami," kata pemain kebangsaan Portugal itu kepada agensi berita, PA.

"Kami kini sedang membina sesuatu yang kami lihat akan menjadi istimewa pada masa akan datang.

"Amat jelas, saya fikir jika kami dapat memenangi Piala FA, ia akan memberikan kami lebih kepercayaan bahawa kami mampu untuk mencapai sasaran lebih besar musim depan," katanya.