Pasukan yang sedang memburu gelaran 'treble' musim ini, Manchester City, akan tampil dengan kekuatan penuh menjelang perlawanan final Piala FA menentang seteru tradisi, Manchester United, malam ini.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebelum ini kelihatan mengalami masalah kecederaan pemain menjelang penentuan gelaran di Stadium Wembley berkenaan.

Jack Grealish, Kevin De Bruyne, Ruben Dias dan Manuel Akanji kesemuanya terlepas perlawanan EPL terakhir menentang Brentford hujung minggu lalu atas alasan masing-masing.

Keempat-empat pemain itu turut diberikan kelonggaran dalam sesi latihan kerana City enggan mengambil sebarang risiko memandangkan kelab itu juga sedang membawa misi mencipta sejarah dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu depan.

Pengurus kelab itu, Pep Guardiola, berkata pasukannya kini kelihatan cukup cergas dan sihat menjelang aksi final berkenaan.

Dia berkata: "Mereka berlatih dengan amat baik sepanjang dua sesi latihan terakhir. Kebanyakan mereka, hampir kesemuanya, dalam keadaan terbaik."

Bagaimanapun, terdapat seorang pemain City yang sah tidak dapat memulakan perlawanan itu, iaitu penjaga gol, Ederson.

Ini kerana Stefan Ortega telah beraksi dalam kesemua kejohanan piala domestik musim ini selain turut diturunkan dalam dua daripada tiga perlawanan EPL terakhir musim ini.

"Stefan akan bermain," kata Guardiola mengenai penjaga gol Jerman itu, yang masih belum dibolosi dalam kesemua perlawanan Piala FA musim ini.

"Saya sentiasa katakan bagi perlawanan ini, penjaga gol yang bermain dalam Piala FA akan bermain dalam final Piala FA."