JDT 3 TERENGGANU 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan kejagoan dalam Liga Malaysia (Liga-M) apabila mempamerkan satu permainan yang hampir berat sebelah dalam perlawanan akhir Piala FA ketika berdepan Terengganu, sebentar tadi.


Pemain kebangsaan berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi, dan pemain import kelahiran Brazil, Bergson Da Silva, merobek gawang Sang Penyu dalam setiap babak di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas beberapa kali memiliki peluang menarik selain memerlukan tindakan berani penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias, ketika berdepan satu lawan satu dengan pemain dari Bahrain, Habib Haroon, JDT menggamatkan stadium apabila Arif Aiman dengan tenang menggunakan kaki kirinya untuk gol sulung perlawanan.




Pada awal babak pertama, Terengganu yang kerap mengintai serangan balas cuba mengubah corak permainan dengan mempertaruhkan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim dimasukkan untuk menggantikan Faiz Nasir sementara JDT pula mengubah bahagian tengah menerusi Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan Afiq Fazail.

Senario itu tetap tidak mampu mengubah tempo untuk JDT mengukuhkan kedudukan selepas Bergson dikasari Rahadiazli Rahalim dalam kotak penalti ketika menyambut lambung Fernando Forestieri.

Kesilapan penjaga gol masing-masing selepas itu mempengaruhi keputusan penuh apabila percubaan Tchetche Kipre pada minit ke-75 terkena muka Farizal lalu bola bergolek ke melintasi garisan gol.

Tatkala skuad kendalian Nafuzi Zain tersebut seakan-akan ia boleh menjadi nafas baru buat mereka dalam perlawanan, terkaman awal Rahadiazli yang bertindak keluar dari kotak penalti tiga minit selepas itu, mengundang padah apabila pemain gantian JDT, Mohamadou Sumareh, sempat menolak bola kepada Bergson untuk disudahkan dengan lambungan, sekali gus membantu kelab dari selatan berkenaan mengulangi kejayaan 2016.