Massimiliano Allegri membandingkan kemarau gol yang dialami Dusan Vlahovic baru-baru ini serupa dengan senario yang pernah dihadapi Cristiano Ronaldo ketika baru menyertai Juventus menjelang perlawanan akhir Coppa Italia bertemu Inter.

Juve akan cuba menyelamatkan musim yang mengecewakan ini dengan trofi apabila bakal berhitung dengan seteru ketat itu di Stadio Olimpico, awal pagi esok, sekali gus peluang membalas dendam ke atas Nerazzurri yang menewaskan mereka 1-2 dalam Supercoppa Italiana, Januari lalu.

Harapan Bianconeri untuk merampas Scudetto musim ini sudah lama musnah terhadap memandangkan Juve 11 mata di belakang pendahulu, Milan, dengan baki dua perlawanan Serie A.

Setidak-tidaknya mereka telah menjamin tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan tetapi prestasi Vlahovic dibayangi kegagalannya merobek gawang lawan dalam mana-mana empat perlawanan terakhir.

Begitupun, Allegri mempertahankan penggempur yang dipancing daripada Fiorentina, Januari lalu itu, untuk memainkan peranan dalam final sambil membandingkan permulaan perlahannya di Turin seperti Ronaldo yang menyaksikan bintang Portugal tersebut mengharungi tiga perlawanan pembukaan Serie A tanpa menyumbat gol.




Ditanya dalam sidang media pra-perlawanan mengenai ramalan jurulatih kebangsaan Serbia, Dragan Stojkovic, bahawa Vlahovic akan meledak gol perlawanan akhir itu, Allegri menjawab: "Saya harap dia menjaringkan dua! Bukan hanya satu.

"Vlahovic bermain dengan baik dan tenang. Kadang-kadang dia terlalu banyak mempersoalkan diri sendiri. Dia layak untuk mewakili Juventus dan persembahannya mampu meningkat musim depan.

"Dia telah menghasilkan banyak gol kerana di Itali, bukan mudah untuk menemui sentuhan pemusnah dalam setiap perlawanan.

"Ketika Ronaldo tiba, dia tumpul dalam lima atau enam perlawanan. Jika Vlahovic kelihatan kecewa, ini bermakna dia mengambil berat tentang apa yang dilakukannya."