Pengurus Inter, Simone Inzaghi, berkata tiada sebarang resipi istimewa untuk memenangi perlawanan akhir menjelang penentuan gelaran Coppa Italia menentang Juventus, awal pagi esok.

Pengendali berusia 46 tahun itu pernah membimbing Lazio merangkul kejuaraan Coppa Italia pada 2018-19 di samping Supercoppa pada 2017 dan 2019.

Inzaghi turut mengetuai Nerazzurri menjulang mahkota Supercoppa pada awal tahun ini dan ia akan menjadi azimat buatnya untuk meneruskan rekod cemerlangnya dalam perlawanan akhir.

"Kami sudah cukup berbangga untuk berada di sini, untuk perlawanan yang begitu penting," katanya kepada pemberita sempena pertembungan di Stadio Olimpico itu.

“Saya tidak fikir ada resipi istimewa untuk memenangi perlawanan akhir. Anda perlu berlari bersungguh-sungguh, berazam dan fokus.

"Kami perlu memberikan 120 peratus untuk menjulang trofi kedua musim ini."





Perlawanan akhir Coppa Italia itu diadakan di tengah-tengah usaha Inter mempertahankan gelaran Serie A apabila menduduki tempat kedua dua mata di belakang Milan dengan sisa dua perlawanan.

Inzaghi mengakui peralihan fokus daripada liga kepada piala akan membawa satu cabaran yang unik buat barisannya.

"Itu sesuatu yang kami bincangkan," katanya.

“Mungkin lebih baik beraksi dalam perlawanan akhir di penghujung kempen Serie A, tetapi strukturnya sudah ditetapkan pada awal musim ini.

"Saya pernah terbabit dalam perlawanan akhir baik sebagai pemain mahupun jurulatih, jadi saya tidak fikir ia akan menjadi satu masalah untuk mengharungi perlawanan ini sebelum liga berakhir."