Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Piala Dunia 2022 akan bermula sehari lebih awal daripada perancangan asal yang bakal menyaksikan tuan rumah, Qatar, menentang Ecuador dalam perlawanan pembukaan kejohanan itu.

Qatar pada asalnya dijadualkan membuka kempen Piala Dunia dalam saingan Kumpulan A pada Isnin, 21 November, dan secara tidak langsung pertemuan Senegal dan Belanda juga bermula lebih awal.


Begitupun, Biro Majlis FIFA sebulat suara memberi lampu hijau kepada skuad kendalian Felix Sanchez itu untuk mengadakan sepak mula temasya pada 7 malam, Ahad (waktu tempatan sementara 12 tengah malam waktu Malaysia), bagi meneruskan tradisi pasukan tuan rumah bermain terlebih dahulu.

Ini bermakna majlis perasmian juga berjalan pada hari perlawanan pertama.

"Piala Dunia FIFA 2022 akan dimulakan dengan sambutan yang lebih hebat daripada peminat tempatan dan antarabangsa kerana negara tuan rumah, Qatar, akan menentang Ecuador pada Ahad, 20 November sebagai sebahagian daripada amalan kejohanan ini," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk itu.

“Perubahan ini memastikan kesinambungan menandakan permulaan Piala Dunia FIFA yang sering menyaksikan upacara pembukaan sempena perlawanan pertama akan menampilkan sama ada tuan rumah atau juara bertahan.




"Keputusan ini berdasarkan penilaian terhadap saingan ini dan implikasi operasinya selain ia melalui proses perundingan yang menyeluruh bagi pemegang taruh dan negara tuan rumah mencapai persetujuan."

Sehari selepas itu perlawanan pembukaan Kumpulan B membabitkan England dan Iran akan menyusul.

Tradisi tuan rumah Piala Dunia membuat sepak mula terlebih dahulu diamalkan sejak temasya 2006 di Jerman, di mana pasukan asuhan Jurgen Klinsmann itu menewaskan Costa Rica 4-2.

Antara lain ialah ketika edisi 1974 dan 2002 dan ia masih diteruskan dalam edisi lalu yang menyaksikan Perancis -- kemudiannya ditabalkan juara -- membuka kempen bertemu Senegal.