Piala Dunia 2026 akan kekal dengan format empat pasukan sekumpulan dan tidak ditukar kepada tiga pasukan sekumpulan, demikian disahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dengan edisi yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu akan menyaksikan 48 pasukan bertanding berbanding 32 sebelum ini, terdapat cadangan untuk format peringkat awal diubah membabitkan 16 kumpulan yang mengandungi tiga pasukan.

Bagaimanapun, keterujaan ketika berlangsungnya pusingan peringkat kumpulan dalam Piala Dunia Qatar 2022 telah memacu penilaian semula terhadap cadangan itu dan ia kini disahkan bahawa format empat pasukan sekumpulan akan dikekalkan, di mana dua pasukan terbaik akan layak ke peringkat seterusnya dan lapan pasukan di tempat ketiga terbaik juga akan ke pusingan kalah mati.

FIFA berkata menerusi satu kenyataan dalam laman web rasmi mereka: "Berdasarkan penilaian menyeluruh yang mengambil kira integriti sukan, kebajikan pemain, perjalanan pasukan, komersial dan tarikan sukan, juga pengalaman pasukan dan penyokong, Majlis FIFA sebulat suara meluluskan cadangan pindaan format Piala Dunia FIFA 2026 daripada tiga pasukan melibatkan 16 kumpulan kepada 12 kumpulan dengan empat kumpulan setiap satu, di mana dua pasukan terbaik setiap kumpulan dan lapan pasukan di tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 32.

"Format ini disemak semula bagi mengurangkan risiko pengaturan perlawanan dan memastikan kesemua pasukan dapat beraksi sekurang-kurangnya tiga perlawanan sambil menyediakan waktu rehat yang seimbang di antara setiap pasukan bertanding."