Rio Ferdinand mengiktiraf Karim Benzema sebagai penyerang terbaik di dunia selepas Real Madrid menang 3-1 di Chelsea, awal pagi tadi.

Benzema mempamerkan persembahan jitu di Stamford Bridge untuk meledak hatrik sebelum menganggap penggempur Perancis itu berkemampuan menyudahkan peluangnya secara klinikal dan ia hatrik Liga Juara-Juara (UCL) kedua berturut-turut daripadanya.

Pemain berusia 34 tahun itu muncul pemain keempat dalam sejarah UCL yang menjaringkan hatrik berturut-turut selepas Cristiano Ronaldo (2017), Lionel Messi (2016) dan Luiz Adriano (2014).

Selain jaringannya, kesempurnaan permainan Benzema meraih perhatian bekas pemain pertahanan Manchester United dan England itu dan memuji bagaimana dia berkembang pesat sejak pemergian Cristiano Ronaldo pada 2018.

"Dia sudah berusia 34 tahun dan dia adalah pemain nombor sembilan terbaik di dunia," kata Ferdinand di BT Sport.

“Dia mencapai tahap lebih tinggi dengan menghasilkan jaringan, bantuan gol, menghubungkan dan memperlahankan permainan.

"Apabila Cristiano Ronaldo berada di sana, Benzema merendah diri untuk duduk di belakangnya kerana dia tahu erti kerjasama berpasukan tetapi dia kini telah keluar daripada bayang-bayang rakan sepasukannya itu."



Sekadar mencatat 12 gol dalam semua pertandingan dalam musim terakhir Ronaldo di Madrid, bagaimanapun sejak itu Benzema telah menjaringkan lebih 25 gol setiap musim dan dengan hatrik awal pagi tadi, dia telah mempunyai koleksi 37 gol pada musim ini.

Walaupun hatrik itu menggembirakan pemain antarabangsa Perancis tersebut, prestasi pasukan dan kemenangan lebih menawarkannya kepuasan tertinggi.

“Saya akan mengingatinya untuk jangka masa yang lama kerana ia adalah malam yang ajaib, seperti ketika menentang Paris Saint-Germain di Bernabeu,” kata Benzema kepada Movistar.

"Kami memasuki padang hari ini untuk menang dan kami telah membuktikan siapa Real Madrid. Keadaan berjalan lancar kerana kami beraksi dengan baik dari minit pertama hingga terakhir.

"Ketiga-tiganya adalah gol yang sangat penting dan saya lebih gembira dengan gol ketiga kerana saya terlepas satu peluang dalam babak pertama dan saya masih memikirkannya.

"Adalah sangat penting untuk menjaringkan gol."