Ansu Fati akan mengambil alih jersi nombor 10 di Barcelona yang tidak berpemilik sejak Lionel Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Messi menamatkan tempoh 21 tahunnya bersama Barcelona apabila menyertai PSG secara perpindahan percuma bulan lalu selepas kesepakatan barunya di Nou Camp tidak menemui titik persefahaman.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu telah menggunakan jersi nombor 10 berkenaan sejak pemergian Ronaldinho pada 2008 dan menjadi amat sinonim dengan nombor itu, yang turut pernah disarung pemain legenda seperti Rivaldo dan Romario.

Terdapat dakwaan awal bahawa Barca akan membiarkan kekosongan dalam penggunaan nombor itu tetapi perkembangan terbaru semalam mengesahkan bahawa produk akademi La Masia, Fati, akan menjadi pewaris terbaru jersi nombor 10 itu.

Fati telah bersama pasukan gergasi Catalan itu sejak sembilan tahun lalu.

Penyerang itu mencipta sejarah sebagai pemain termuda menjaringkan gol buat Barca ketika melakukannya ke atas Osasuna pada usia 16 tahun dan 304 hari (Ogos 2019).

Sejak itu, dia telah menjaringkan 12 gol daripada 42 penampilan dalam kesemua kejohanan buat Blaugrana, yang mula disertainya pada usia 10 tahun.

Pemain muda kelahiran Guinea-Bissau itu pernah mewakili skuad senior Sepanyol sebanyak empat kali dan menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ke atas Ukraine pada September 2020.

Fati, yang terpaksa berehat sejak November 2020 kerana kecederaan meniscus lutut kiri, sudah mula berlatih dengan pasukan utama Barca dan mungkin dapat kembali diturunkan selepas tamat waktu rehat antarabangsa.