Tarikh 20 jun adalah tarikh akhir untuk semua jurulatih menghantar laporan prestasi pasukan masing-masing kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ini termasuk jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, yang berhadapan dengan krisis prestasi pemain di saingan Piala Asia B23 di Uzbekistan tempoh hari.

Khabar angin bertebaran begitu kencang posisi Brad Maloney dibayangi calon lain ketika ini.

Nama Pau Marti Vicente, yang merupakan penolong ketua jurulatih negara Kim Pan-gon disebut sebut untuk menggantikan Maloney.

Namun tiada sebarang perkhabaran jelas apa perancangan FAM, selagi laporan belum diterima sepenuhnya dengan tarikh akhir 20 Jun ini.

Tegas pengarah teknikal FAM, Scott O'Donell, dia sendiri akan menganalisa laporan yang bakal diterima sebelum mesyuarat komitee skuad kebangsaan berlangsung awal Julai depan.

"Kami gagal meraih keputusan positif di Uzbekistan dan kami akan mencari jalan untuk memperbaikinya pada masa akan datang," katanya.

Walaupun Maloney baru sahaja menandatangani kontrak dua tahun bersama FAM pada Disember 2021, mungkin ada klausa yang memudahkan persefahaman bersama di antara Maloney dan FAM diambil jika perlu.

Bagi O'Donell, setiap keputusan perlu diambil merujuk daripada segenap segi dan bukan hanya menuding jari semata-mata.

"Kami akan melalui proses yang sama, setiap pasukan memberikan laporan dan ia akan dibincangkan bagi mendapatkan jalan penyelesaian."