Tiga daripada empat pemain skuad kebangsaan yang positif COVID-19 dalam saingan Piala Suzuki AFF di Singapura ketika ini disahkan sudah kembali ke pangkuan pasukan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata Khairulazhan Khalid (penjaga gol), Faisal Halim (sayap) dan Quentin Cheng (bek kanan) telah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura semalam.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berkata dalam kenyataan itu: "Ketiga- tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kami beraksi menentang Vietnam, malam tadi.

"Mereka selepas ini akan dapat kembali menyertai sesi latihan penuh di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad ini.

"Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini, iaitu Akhyar Rashid, masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan," katanya.

Berhubung status kecederaan dua pertahanan tengah, iaitu kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak, dan Shahrul Saad, pengendali Harimau Malaya itu berkata kedua-dua pemain berkenaan mengalami kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan ketika aksi bertemu Vietnam malam tadi.

"Doktor dan ahli fisioterapi pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kami membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia.

"Bagi posisi pertahanan tengah, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

"Namun, kita juga bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini untuk mengisi posisi pertahanan tengah andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti," katanya lagi.


*Sumber: FAM