Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius isu mutu pengadilan yang kembali mendapat tempat dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) rentetan insiden kontroversi yang berlaku sepanjang minggu ini.

Ia membabitkan dua perlawanan iaitu Kelantan FC menentang Johor Darul Ta'zim II dalam Liga Perdana sementara Sabah bertemu Selangor dalam pertemuan Liga Super.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar, menegaskan prestasi pengadil terbabit akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengadil Badan FAM sebelum sebarang tindakan disiplin diputuskan.

"Apabila kami terima laporan daripada Penilai Pengadil untuk sesuatu perlawanan, jawatankuasa akan menilai prestasi pengadil ini sama ada amaran adalah betul atau mutu persembahannya di bawah tahap sebenar.

"(Kemudian)( Jawatankuasa Penilai akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengadil untuk mengambil tindakan yang seterusnya," katanya.

Isu ini turut mendapat perhatian bekas pengadil fifa pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM , Subkhiddin Salleh, menerusi akaun Twitter menegaskan setiap kesilapan perlu diadili sebaiknya.