Kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar, berasakan faktor kecergasan menjadi punca pasukannya tewas 2-4 kepada Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Dalam aksi di Alor Setar itu, penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun, mencipta hatrik, sambil pemain muda, Danial Asri, turut menyumbangkan satu gol bagi membantu pasukan Gergasi Merah itu memintas Kedah -- yang berkelebihan empat perlawanan dalam tangan -- di tangga keempat liga.

Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Renan Alves dilayangkan kad merah pada minit ke-27, tidak lama selepas Kpah Sherman mumbuka jaringan tuan rumah.

K. Anumanthan berhasil mengikat kedudukan 2-2 sebelum waktu rehat tetapi pasukan Lang Merah itu jelas tidak mempunyai kecergasan yang mencukupi sepanjang babak kedua.

Ia merupakan kali pertama pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu beraksi selepas sekian lama menjalani kuarantin berikutan kes penularan COVID-19 dalam kalangan ahli pasukan mereka.

Baddrol, dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini, berkata: "Tahap kecergasan kami masih belum dapat menandingi Selangor, yang sudah mula beraksi lebih awal daripada kami.

"Jadi, kami terima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan akan meningkatkan prestasi dalam perlawanan selepas ini.

"Semestinya kad merah yang dilayangkan itu membawa padah buat kami kerana bukan senang untuk menghadapi Selangor dengan 10 pemain.

"Bagi saya, kami sudah menunjukkan semangat juang yang agak tinggi dalam perlawanan itu, jadi kami perlu melupakan kekalahan itu dan kekal positif untuk menentang Penang FC selepas ini," katanya.

Kedah seterusnya akan bertemu Penang di venue sama Selasa ini.