Pemain tengah Terengganu FC, Faisal Halim, menyangkal dakwaan warga internet yang melabel dirinya sebagai 'budak nakal', sebaliknya berkata tujuannya memuat naik video insidennya dengan pemain Kedah Darul Aman FC, Syazwan Zainon, adalah untuk menjelaskan situasi sebenar.

Pemain yang mesra disapa Miki itu turut berkata hubungannya dengan Wan Karpet juga mesra seperti biasa selepas perlawanan itu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Faisal menjelaskan mengenai perkara itu: "Situasinya berlaku sebelum dia dikeluarkan. Ketika itu, saya kehilangan bola di sebelah kanan dan saya terus memberikan tekanan sehingga bola sampai di kakinya.

"Ketika saya berlari ke arahnya, dia melakukan hantaran dan terkena kaki saya. Saya cuba memberhentikan larian tetapi terpijak hujung kasutnya.

"Tiada apa pun sebenarnya, tersangkut tali kasut sahaja. Kerana itulah ia kelihatan seperti (kaki kami) terlekat.

"Selepas itu semuanya seperti biasa, pengadil juga tidak menghentikan permainan.

"Selepas permainan itu, saya berjumpa, bersalam dan berpeluk dengannya.

"Dia memberitahu saya yang saya memijak kakinya, jadi saya memohon maaf. Ceritanya habis di situ.

"Tetapi apabila masuk ke bilik persalinan, saya melihat ada satu video dengan tajuk 'Faisal Halim buat hal lagi'.

"Pasukan saya baru sahaja tewas, semangat sedang jatuh, kena pula seperti ini.

"Ia sebenarnya tiada sebarang isu tetapi peminat membangkitkannya sehingga ada komen dan mesej yang tidak sepatutnya.

"Jadi saya memilih untuk memuat naik satu video bagi menunjukkan keadaan sebenar kerana video yang tular itu, mereka hanya menyaksikannya di TikTok.

"Kurang sejam, semua kecaman itu beralih pula kepada Syazwan Zainon.

"Jadi saya berasa tidak sedap kerana Syazwan Zainan langsung tiada masalah dengan saya.

"Niat saya adalah untuk menjelaskan kepada peminat tentang apa yang berlaku dan bukan untuk menyalahkan Syazwan Zainon.

"Jadi saya memilih untuk memadam video itu kerana saya bukannya mahu menyalahkan Syazwan Zainon. Dia memang seorang senior yang baik.

"Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya dengan Syazwan Zainon memang tiada masalah, kami baik-baik sahaja," katanya.