Pengendali futsal wanita negara, Fairuz Mohd Noor, menyasarkan rekod peribadi apabila mahu mengatasi pencapaian Chiew Chun Yong, yang membawa pasukan muncul empat pasukan terbaik di rantau Asia.

Fairuz diumumkan sebagai pengendali baru skuad futsal wanita September lalu.

Sememangnya, ia bukan tugas mudah buat bekas penolong jurulatih negara itu untuk mengekalkan reputasi pasukan ini yang meraih tempat keempat Kejohanan Futsal AFC tahun lalu.

Fairuz mengakui perlu memastikan pencapaian lebih baik daripada Chung Yong, terutama dalam kejohanan sama tahun depan.

"Itu cabaran yang paling besar kerana kita tahu Malaysia pernah menjadi antara empat pasukan terbaik di Asia.

"Jadi, harapan saya kami perlu memiliki kekuatan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini," jelasnya.

Fairuz berasakan kombinasi yang dibentuk bersama penolong jurulatih, Ruzaley Abdul Aziz dan Muizzudin Haris, mampu menjadi kekuatan utamanya kini.

Ketiga-tiga jurulatih ini pernah beraksi bersama sebelum ini dan yang terakhir dalam Sukan SEA Indonesia 2011.

"Kami akan menggunakan pengalaman dan kepandaian masing-masing dalam membentuk pasukan ini, insya-Allah," ujar Muizzudin.

Sementara itu, seorang lagi penolong jurulatih, Ruzaley, mengakui tugas yang menanti mereka bukan mudah, apatah lagi bakal membawa nama Malaysia di pentas Sukan SEA.

"Ini adalah cabaran yang baru buat kami bertiga dalam membina pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2017."