Arsenal dilaporkan bersedia untuk membuat pembelian besar pertama mereka dengan menandatangani pemain tengah Porto berusia 22 tahun, Fabio Vieira.

The Gunners telah dikaitkan dengan pelbagai nama besar termasuk Raheem Sterling, Youri Tielemans dan Christopher Nkunku tetapi bergelut untuk menggoda barisan pemain pilihan di pasaran.

Vieira, yang membuat 20 penampilan bersama Portugal B-21, merupakan pemain yang mampu bergerak lincah di sayap kiri.

Menurut ESPN, tawaran dalam lingkungan €40 juta (RM184.8j) dikatakan telah dibuat dan Vieira dikatakan akan menuju ke London untuk pemeriksaan perubatan pada hari ini sebelum memuktamadkan perjanjian selama lima tahun.

Pemain tengah menyerang berbakat yang berkemampuan memainkan peranan nombor 10 mahupun penyerang kedua itu menamatkan kempen Liga Primeira dengan enam gol dan 14 bantuan jaringan daripada 27 penampilan.

Vieira dilaporkan mempunyai klausa pelepasan setinggi €50j (RM230.9j) dengan Porto tetapi kelab itu tetap terbuka untuk menerima jumlah pampasan yang ditawarkan.

Ia boleh menjadi permulaan minggu sibuk buat Arsenal berikutan ESPN juga menyebut mereka sedang mengetuai perlumbaan untuk memancing penyerang Manchester City, Gabriel Jesus, dalam perjanjian yang boleh mencecah nilai hingga £50j.