Parlimen United Kingdom (UK) akan membahaskan usul undi tidak percaya terhadap pentadbiran Persatuan Bola Sepak England (FA) minggu depan.

Khamis depan, Ahli Parlimen akan melakukan perbahasan bagi memaksa satu rombakan besar dilakukan terhadap struktur FA.

Menteri Sukan, Tracey Crouch, telah memberikan FA tempoh enam bulan bagi melaksanakan perubahan terhadap ahli lembaga dan ahli majlis badan induk bola sepak England itu pada Oktober tahun lalu.

Pada masa sama, kerajaan UK turut menerbitkan panduan baru bagi setiap badan sukan dan FA kini mungkin perlu berdepan kehilangan peruntukan tahunan sebanyak GBP30 juta (RM165 juta) daripada Sport England.

Jawatankuasa Pilihan Budaya Media dan Sukan (CMS) mengesahkan perbahasan tersebut tatkala pengerusi, Damian Collins, percaya keengganan FA untuk melangkah ke arah pemodenan adalah disebabkan operasi badan induk itu tidak mencerminkan sebarang pembiayaan kerajaan.

"Menteri Sukan telah menjelaskan kepada ahli jawatankuasa bahawa FA telah diberikan enam bulan dari tempoh penerbitan panduan kerajaan yang baru pada Oktober 2016 bagi membuktikan mereka bersedia memperbaiki struktur organisasi.

"Jika tidak, dana kerajaan akan ditarik balik dan akan disalurkan kepada sukan bola sepak menerusi saluran berbeza," kata Collins dalam satu kenyataan.

"Kami percaya FA tidak akan memberikan kerjasama secara rela: ini kerana mereka mampu meneruskan tugas tanpa sebarang bantuan kerajaan dan ada pihak yang berkepentingan yang enggan menerima mereka yang berhak memainkan peranan terhadap struktur organisasi itu.

"Jadi, kami bersedia untuk menggubal undang-undang baru bagi memastikan FA menjalankan tugas mereka mengikut panduan organisasi yang moden sepertimana yang dinyatakan dalam panduan terbaru tersebut."