Christian Horner bimbang Grand Prix (GP) Monaco akan ketinggalan melainkan perubahan drastik dibuat di trek paling terkenal Formula Satu (F1) berkenaan apabila faktor hujan 'membantu merancakkan' perlumbaan sebentar tadi itu.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen, mendahului setiap pusingan untuk menawan Monte Carlo buat kali kedua, secara tidak langsung melebarkan pendahuluan kejuaraannya kepada 39 mata selepas enam pusingan.

Pemandu Aston Martin, Fernando Alonso, menduduki tempat kedua, dengan Esteban Ocon daripada jentera Alpine di tempat ketiga.

Lewis Hamilton dan George Russell masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima untuk Mercedes.

Sergio Perez yang merupaka pencabar kejuaraan terdekat Verstappen mengharungi persembahan suram.

Dalam 51 pusingan, perlumbaan itu dianggap membosankan tetapi perubahan senario perlumbaan yang menyaksikan Carlos Sainz terbabas ke dinding dengan Ferrari yang dipandunya, manakala Russell dan Perez bergesel ketika pemandu Mercedes itu sedang memasuki semula trek akibat kekalutan perubahan cuaca.

Lance Stroll juga melanggar penghalang sebanyak dua kali dan keputusan Haas untuk mengekalkan Kevin Magnussen dengan tayar licin membawa padah apabila pemandu Denmark itu merempuh dinding di Rascasse.

Di sebalik keadaan hujan lebat, Verstappen, Alonso dan Ocon, yang menguasai petak utama tetap bersaing sengit.

Prinsipal Red Bull, Horner, yang meraikan kemenangan keenam pasukannya turut tidak ingin terlepas dalam perdebatan itu.

"Ini adalah Monaco dan di sini ada sejarah dan keunikannya," katanya.




“Tetapi masalahnya ialah kereta ini begitu besar sekarang.

“Semua venue perlu berubah sedikit dan jika terdapat hanya satu kawasan di mana anda boleh mencipta ruang untuk memintas, ini kerana begitu banyak beban diletakkan ketika kelayakan. Kemenangan mahu pun kekalahan sebenarnya sudah ditentukan pada Sabtu.

“Saya yakin dengan kreativiti yang ada dan jumlah tanah yang mereka tebus di sini, pasti ada ruang untuk zon brek yang lebih besar.

“Mungkin menjadikan Pusingan 1 lebih tajam atau lebih perlahan atau memanjangkan litar jika ada peluang untuk menambah kilometer biarpun sebesar penyepit rambut -- ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa.

“Ia sesuatu untuk direnungkan kerana kami tidak mahu melihat Monaco ketinggalan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Ia mempunyai tempatnya dalam kalendar perlumbaan.

"Ia ibarat sebiji permata yang terletak di sebuah mahkota tetapi apabila sukan ini terus maju, anda tidak boleh berdiam diri dan Monaco perlu menjadi sebahagian daripada proses itu.”