Buat musim kedua berturut-turut, Everton terselamat daripada relegasi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan lebih daripada segala yang lain, kelab Merseyside itu terhutang ‘survival’ mereka kepada dorongan kuat penyokong.

Pengurus pada penghujung musim lalu, Frank Lampard, merakamkan penghargaannya kepada peminat yang berupaya mengheret skuad bimbingannya ketika itu hanya sedikit melepasi garis zon bahaya.

Kali ini pula, Sean Dyche meniru langkah serupa dengan merayu penyokong tampil menggamatkan suasana pada minggu-minggu terakhir musim dan terbukti suasana hingar-bingar di Goodison Park menjadi kuncinya.

Buat peminat berjersi biru yang berpusu-pusu di stadium pada hari terakhir musim, ‘survival’ adalah segala-galanya – bola sepak adalah satu kegembiraan – dan mereka harus berterima kasih kepada Abdoulaye Doucoure, yang golnya pada minit ke-57 dalam kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth terbukti terlalu berharga.

Satu gol itulah yang menghindarkan penyokong daripada bermurung mengingatkan relegasi buat kali pertama sejak 1951 tapi pemain-pemain Everton telah membalas kepercayaan peminat dengan sebaik-baik yang diharapkan mereka.

Beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan itu, jalan-jalan utama di sekeliling Goodison Park dibanjiri peminat, yang ada antara mereka menjadi punca asap biru daripada pembakaran suar dan bunga api.

Di dalam stadium, tidak ramai yang beredar dari tempat duduk untuk melepaskan dahaga sebelum wisel rehat kerana bimbang akan terlepas detik yang boleh menjadi catatan penting dalam buku sejarah Everton.

Menurut laporan The Guardian, skuad The Toffees itu, yang memilih untuk berkubu dengan lima pemain pertahanan, lebih menguasai 45 minit pertama tanpa sebarang jaringan.

Sorakan “Everton! Everton! Everton!” bergema apabila 10 minit masa pemberhentian ditambahkan pada penghujung perlawanan dalam debar menantikan pendahuluan 1-0 ketika itu dapat dipertahankan. Apabila wisel penamat dibunyikan, gabungan rasa kejayaan dan kelegaan benar-benar terserlah.

Dyche turut menghela nafas panjang sambil Everton menang lima daripada 17 perlawanan yang dia bertanggungjawab sebagai pengurus di sebalik percakaran di sebalik tabir di kelab itu.



Everton sarat dengan sejarah. Dixie Dean diabadikan dalam bentuk patung di luar stadium, salah satu bahagian tempat duduk dinamakan sempena pengurus legenda, Howard Kendall. Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Joe Royle, Peter Reid dan Graham Stuart yang mewakili sebegitu ramai legenda yang dilahirkan kelab berkenaan.

Namun, ia bukan salah Dyche yang terpaksa menamakan dua penjaga gol serta dua pemain mentah di bangku pemain simpanan di sebalik masih kekurangan seorang pemain lagi untuk mencukupkan kuota dibenarkan.

Keadaan itu berurutan daripada nasib tidak baik disebabkan masalah kecederaan tapi lebih lagi kepada lemahnya perancangan hierarki kelab.

Tiada sebarang pembelian pemain dibuat ketika jendela perpindahan Januari lalu di sebalik semua orang menyedari masalah yang membelenggu pasukan, yang membuat bulan-bulan terakhir ini lebih menyulitkan.

Pemain-pemain tahu kegemilangan dan tekanan bermain untuk Everton dan penyokongnya tidak pun perlu diingatkan terhadap kegembiraan berjalan melalui Stanley Park diiringi harapan besar pada setiap hari perlawanan.

Benar, Everton memiliki sejarah yang hebat tapi sudah sampai masanya mereka belajar daripada cemas sejak beberapa musim kebelakangan atau berisiko mengulanginya buat musim ketiga berturut-turut.

Buat waktu ini, mereka masih boleh berterima kasih kepada penyokong tapi lambat-laun peminat juga mungkin berasa muak andai tiada penambaikan dilakukan kelab.