Luis Enrique berjanji akan tiada sebarang rasa selesa buat pemain Sepanyol ketika skuad La Roja itu menghadapi Swizerland dalam suku akhir Euro 2020 tengah malam ini.

Ketika Sepanyol memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Croatia 5-3 dalam pusingan 16, Switzerland pula mengejutkan juara dunia, Perancis, dengan kemenangan 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 di Bucharest.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu akan membuat perhitungan bagi penentuan ke separuh akhir di Saint Petersburg tengah malam ini.

Ini merupakan pertemuan pertama Switzerland dan Sepanyol dalam Kejohanan Eropah.

Tiga pertemuan terakhir dalam kejohanan utama pula adalah dalam Piala Dunia 1966, 1994 dan 2016 di mana La Roja memenangi dua pertemuan pertama dan Switzerland pula muncul pemenang dalam pertemuan terakhir -- di mana Sepanyol muncul juara edisi itu.

Bagaimanapun, kekalahan di Afrika Selatan itu merupakan satu-satunya kekalahan Sepanyol kepada Switzerland sepanjang 22 pertemuan dalam kesemua kejohanan.

Kedua-dua pasukan itu pernah bertemu dalam Liga Negara-Negara Eropah pada Oktober dan November tahun lalu, di mana Sepanyol menang 1-0 sebelum terikat 1-1 dan Luis Enrique sedar cabaran getir yang menanti pasukannya untuk ke separuh akhir.

"Realitinya, Switzerland telah layak (ke suku akhir) dan tiada perkara selain daripada itu," kata ketua jurulatih Sepanyol itu dalam sidang media.

"Perkara baik buat kami adalah kedua-dua pasukan sudah saling mengenali sesama sendiri. Kami pernah bersaing dalam Liga Negara-Negara.

"Mereka akan menjadi pasukan yang sukar untuk dihadapi dan saya fikir mungkin ramai dapat melihat bahawa mereka tidak memiliki nama-nama besar tetapi mereka sebenarnya adalah sekumpulan pemain yang hebat.

"Mereka setara kami daripada segi memberikan tekanan dan cara mereka melakukan serangan, jadi ia akan menjadi sesuatu yang sukar buat kami," katanya.