Skuad Sepanyol kendalian Luis Enrique akan mencari jalan untuk mengelak nasib yang sama dengan Perancis ketika bertemu Switzerland dalam suku akhir Kejuaraan Eropah.

Switzerland melakar kejutan terbesar kejohanan dengan menyingkirkan pilihan kejohanan menerusi penentuan penalti dalam pusingan 16 selepas seri 3-3.

La Roja turut terlibat dalam perlawanan yang menyaksikan enam gol dihasilkan dalam tempoh 90 minit, sebelum merakamkan kemenangan 5-3 ke atas Croatia dalam masa tambahan dalam satu lagi aksi klasik Euro.

Dengan berbuat demikian, Sepanyol menjadi pasukan pertama dalam sejarah Kejuaraan Eropah yang menjaringkan lima atau lebih gol dalam dua perlawanan berturut-turut, setelah mengalahkan Slovakia 5-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Menjelang pertembungan awal pagi esok dengan Switzerland, Luis Enrique telah berjanji untuk berpegang pada gaya permainan menyerang.

"Saya sudah bersedia untuk perlawanan seperti yang menentang Croatia -- tetapi saya tidak pasti sama ada keluarga atau penyokong berasakan hal yang sama," katanya.

"Kami tidak akan bermain hantaran jauh, bola sepak bertahan bahkan jika bermain dengan cara kami menghasilkan perlawanan yang luar biasa. Kami hanya bertahan dengan berusaha mengawal bola dan bermain."

Switzerland telah mencapai suku akhir Piala Dunia tiga kali, tetapi ini adalah yang paling jauh yang pernah mara dalam Kejuaraan Eropah.



Mereka belum pernah mara ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan tetapi dengan kemenangan mereka ke atas Perancis, skuad kendalian Vladimir Petkovic berpeluang mengubahnya.

"Perlawanan menentang Perancis penuh dengan emosi buat semua. Pemain-pemain memberikan 120 peratus," kata Petkovic, yang tanpa khidmat kapten, Granit Xhaka, ekoran kad kuning yang terkumpul.

"Ini mungkin salah satu perlawanan terbaik pasukan saya. Kami sekarang memerlukan persembahan yang serupa bertemu Sepanyol dalam suku akhir."