Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, memuji impak pemain barunya, Aymeric Laporte, selepas pertahanan itu memilih untuk mewakili La Roja sebelum saingan Euro 2020.

Laporte merupakan satu-satunya pertahanan Sepanyol yang beraksi dalam setiap perlawanan Euro 2020 dan dia semakin berkembang menjadi watak utama menjelang perlawanan separuh akhir menentang Itali di London awal pagi esok.

Pertahanan tengah Manchester City kelahiran Perancis itu melakukan penalmpilan antarabangsanya bulan lalu selepas diberikan kerakyatan Sepanyol sebulan sebelumnya.

Laporte, yang berpindah ke Sepanyol ketika berusia 16 tahun dan hadir melalui sistem pembangunan Athletic Bilbao, mewakili Perancis dalam setiap kejohanan peringkat bawah umur dan pernah dipanggil menyertai skuad senior pada 2019 tetapi tidak pernah melakukan sebarang penampilan dengan Les Bleus.

Luis Enrique dan Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) telah mula memujuk Laporte sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berhasil menurunkan pemain itu dalam Euro 2020.

"Sebaik dia dapat bermain untuk kami, dia mula memberikan impak yang besar buat kami," kata Luis Enrique dalam sidang media.

"Dia seorang pertahanan terbaik daripada segi bertahan dan menyerang.

"Amat jelas kami memerlukan pertahanan yang memiliki ketenangan untuk mengeluarkan bola dan mencari pemain yang tidak dikawal di bahagian tengah.

"Dia amat kuat di udara, dia boleh bermain dengan kedua-dua kakinya. Dia amat pantas dan kuat.

"Seperti yang saya katakan, dia amat bagus dalam mengawal bola dan amat bagus ketika mengawal kawasan.

"Dia seorang pertahanan terbaik dan kami gembira apabila Aymeric memilih untuk mewakili Sepanyol," katanya.