Ketua jurulatih Belanda, Frank de Boer, memberikan amaran buat pemainnya agar tidak mempamerkan sebarang kemerosotan seandainya mahu memenangi Euro 2020.

Belanda akan bertemu Republik Czech dalam pusingan 16 Euro 2020 tengah malam ini dalam usaha untuk merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan pertama Kejohanan Eropah itu buat kali kedua dalam sejarah mereka.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu buat kali ketiga dalam Kejohanan Eropah (tidak termasuk pertemuan dengan Czechslovakia) dengan setiap satu daripadanya dengan satu kemenangan.

Kali terakhir mereka bertemu adalah dalam Euro 2004 di mana Republik Czech bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2 menenusi gol kemenangan Vladimir Smicer pada minit ke-88.

Pasukan De Boer itu kelihatan berada di pretasi terbaik di mana mereka merekodkan jaringan terbanyak dalam saingan peringkat kumpulan dengan lapan gol menjelang penentuan ke suku akhir di Budapest tengah malam ini.

"Selepas kemenangan ke atas Macedonia, kami berehat seketika selama sehari," kata De Boer dalam sidang media.

"Tetapi selepas itu, kami dapat segera kembali memperkemaskan aksi. Ahli pasukan, staf teknikal dan pemain sendiri perlu memastikan tiada sebarang kemerosotan.

"Pemain perlu mengingatkan sesama mereka tentang perkara itu.

"Republik Czech sedar apa yang mereka mahukan dan boleh mengganggu kami. Mereka mempunyai ramai pemain yang bergerak tanpa bola dan mereka merupakan pasukan yang sukar untuk dihadapi.

"Kami akan mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan ia akan menjadi pencapaian yang besar untuk menewaskan Republik Czech," katanya.