MAN UTD 2 FULHAM 1

Erik ten Hag berjanji di hadapan penyokong setia Old Trafford bahawa Manchester United mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi Piala FA dan memusnahkan usaha Manchester City untuk melakar kejayaan 'treble'.


Selepas mengesahkan tiket kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) dengan menewaskan Chelsea Jumaat lalu, The Red Devils mengesahkan tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari terakhir kempen.

United bangkit daripada gol tandukan awal Kenny Tete sebelum David De Gea menyelamatkan sepakan penalti Aleksandar Mitrovic.

Jadon Sancho dan Bruno Fernandes kemudian memastikan kemenangan 2-1 menentang Fulham, sebentar tadi.

Pemain diberi sambutan yang hebat sejurus wisel penamat dengan De Gea menerima Anugerah Sarung Tangan Emas,

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain kami,” katanya dengan penuh semangat kepada peminat di stadium.




“Saya fikir mereka telah menempuhi satu musim yang cemerlang.

“Mereka juga disokong oleh kakitangan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kakitangan kami.

“Kedua, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda (peminat) semua. Sepanjang musim ini kami berjuang dengan sangat hebat di Old Trafford dan di tempat lawan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih untuk musim ini dan sumbangan anda yang telah menyokong kami, -- ia menakjubkan, jadi terima kasih.

“Tetapi masih ada satu perlawanan lagi dan saya yakin barisan pemain ini akan memberikan segalanya untuk menewaskan Manchester City minggu depan.

“Jika anda menyokong kami, saya pasti kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk merampas kembali piala itu ke Old Trafford.”