Sembilan puluh kes positif COVID-19 disahkan dalam kalangan pemain dan pekerja, namun keputusan pihak pengurusan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah semua perlawanan yang dijadualkan sepanjang tempoh perayaan Krismas harus diteruskan seperti biasa.

Keputusan ini mengundang pelbagai pihak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, antaranya kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson.

"Saya fikir tidak ada sesiapa yang peduli tentang kebajikan pemain.

"Benar, bola sepak adalah segala-galanya untuk kami dan kami mahu memberikan persembahan terbaik setiap kali kami turun ke padang.

"Namun, sejak bertahun-tahun yang lalu, saya pelajari yang ia sama sekali tidak mudah untuk beraksi pada tahap terbaik dalam musim perayaan sebegini.

"Apabila ditambah pula dengan pandemik yang melanda, ia pastinya lebih teruk lagi.

"Ketika ini, suara-suara pemain nampaknya tidak dihormati dan kami tidak punya sebarang kuasa untuk membuat keputusan," ujar Henderson dalam sesi temu bual bersama BBC Sport.

Liverpool adalah antara kelab yang paling terkesan akibat peningkatan semula pandemik ini, di mana mereka terpaksa beraksi tanpa pemain-pemain penting akibat disahkan positif COVID-19 seperti Virgil Van Dijk, Fabinho dan Thiago Alcantara.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan United Kingdom telah mengumumkan bahawa pemain yang disahkan positif boleh mengakhiri tempoh kuarantin mereka selepas tujuh hari berbanding 10 hari sebelumnya.

"Apabila pemain menjalani tempoh kuarantin, mereka bukannya boleh terus beraksi pada hari yang sama kuarantin mereka berakhir. Mereka harus kembali menjalani latihan dan mendapatkan semula rentak permainan

"Bagi saya, jika pemain diminta untuk beraksi dalam perlawanan selepas tempoh latihan yang singkat, ia meningkatkan peluang untuk mereka tercedera.

"Seharusnya pihak pengurusan liga menanyakan pendapat doktor dan pakar kesihatan dalam menentukan keputusan yang diambil, bukannya kepada pihak pengurusan kelab," ujar timbalan pengurus Liverpool, Pep Lijnders.



Buat kelab-kelab lain dalam Liga Perdana Inggeris, seharusnya pilihan pemain yang tersedia untuk mereka beransur-ansur meningkat dalam tempoh seminggu yang akan datang.

Di Manchester United, sejumlah 19 pemain dan pekerja dilaporkan positif pada tanggal 15 Disember. Jika tiada antara mereka yang berterusan menunjukkan gejala negatif, mereka sepatutnya boleh meneruskan latihan minggu ini.

Chelsea pula adalah antara kelab yang paling teruk terkesan, di mana mereka terpaksa mengetepikan pemain-pemain penting seperti Romelu Lukaku, Jorginho dan Kai Havertz -- seramai tujuh pemain kesemuanya.

Kesemua pemain ini diramalkan mampu untuk kembali beraksi menjelang perlawanan sehari selepas Krismas.



Persoalan penting di sini adalah, mengapakah kesemua pemain yang terkesan dengan virus ini dipaksa untuk beraksi?

Adakah wang dan jadual semata-mata lebih berkeutamaan berbanding kesihatan dan nyawa?

Kata-kata Henderson kedengaran benar sebenar-benarnya ketika ini -- kebajikan tidak dipedulikan.

Pihak pengurusan liga dijadualkan untuk bermesyuarat dengan pengurus dan kapten daripada kesemua 20 kelab hari ini, tanggal 23 Disember, di mana mereka diramalkan bakal dihambur dengan kecaman dan kegeraman yang terpendam.

Namun, adakah ia bakal mengubah keputusan yang telah mereka ambil?

Kemungkinan besar tidak.