ASTON VILLA 3 MANCHESTER UNITED 1

Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, kecewa dengan kekalahan 1-3 pasukannya kepada Aston Villa dengan berkata persembahan mereka di Villa Park malam tadi merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, tuan rumah memperoleh dua gol dalam tempoh 11 minit pertama, di mana Leon Bailey membuka jaringan dan Lucas Digne menjaringkan gol sepakan percuma sebelum percubaan jarak jauh Luke Shaw yang terbias ke badan Jacob Ramsey kembali merapatkan jurang buat United sebelum waktu rehat.

United, bagaimanapun, memulakan separuh masa kedua sama buruk seperti babak sebelumnya untuk Ramsey memanfaatkan keadaan itu bagi mengembalikan kelebihan dua gol buat pasukannya dan pelawat kemudian kelihatan gagal merencanakan sebarang kebangkitan.

Ia menyebabkan Ten Hag kecewa dengan pemainnya sambil menegaskan bahawa mereka bermain di bawah tahap sebenar.

"Kami tewas perlawanan ini pada awal babak pertama dan kedua dan ia tidak dapat diterima. Lawan kelihatan lebih segar dan bersedia," katanya kepada BBC's Match of the Day.

"Kami perlu lebih tajam, Keputusannya amat jelas. Ia tidak pernah menipu. Hari ini, kami tidak cukup bagus.

"Kami tidak dapat susunan yang betul. Kami mencipta peluang dan ia peluang yang baik ketika kedudukan 2-1 tetapi kami amat kecewa apabila dibolosi pada awal babak kedua," katanya.