Erik ten Hag sedang melakukan pembinaan yang tepat untuk menjadikan Manchester United kembali sebagai pencabar gelaran utama tetapi masih terlalu awal untuk mengiktiraf bahawa The Red Devils sudah kembali seperti dulu, kata Andrew Cole.

United menjulang trofi pertama selepas enam tahun dengan menewaskan Newcastle United 2-0 dalam Final Piala Liga Inggeris (EFL) di Wembley awal pagi Isnin lalu hasil jaringan Casemiro dan Marcus Rashford dalam babak pertama.

Ia merupakan musim pertama yang positif di bawah bimbingan Ten Hag, di mana mereka masih berjuang dalam Piala FA dan Liga Europa selain masih berpeluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun sedang ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Legenda United, Cole, yang merupakan sebahagian daripada skuad 'treble' 1999, menyedari perkembangan pesat yang dilakukan Ten Hag bersama kelab itu tetapi menegaskan ia masih satu perjalanan yang panjang untuk mereka menyaingi seteru setempat, Manchester City, yang memenangi empat gelaran EPL sepanjang lima musim lalu dan ketinggalan hanya dua mata di belakang Arsenal ketika ini.

"Kita perlu ingat bahawa kebanyakan pasukan pernah mengabaikan Piala Liga tetapi kini, Piala Liga sudah menjadi kejohanan yang besar," kata Cole kepada Stats Perform.

"Amat jelas saya amat-amat gembira kami memenangi Piala Liga bersama Ten Hag tetapi kita perlu meletakkan setiap perkara dalam perspektif di sini, ia merupakan musim pertama.

"Kita perlu jujur, kita tahu terdapat jurang yang besar di antara kami dan Manchester City.

"Kita boleh bercakap mengenai ketika ini yang ia hanya dibezakan lima mata tetapi jika kita melihat secara keseluruhan sepanjang beberapa musim lalu, kami jauh ketinggalan di belakang mereka.

"Jadi, saya tidak akan melihat kepada tahun ini dan berkata 'kami sudah kembali'.

"Ia sesuatu yang hebat apabila kami mendapat peluang untuk memenangi piala tetapi saya fikir ia masih agak jauh.

"Jika kami mampu terus berkembang seperti yang kami lakukan ketika ini, ia tidak memerlukan masa yang terlalu lama," katanya.