Pengurus Tottenham, Antonio Conte, mempertahankan pemilihan pemain dan taktikalnya berikutan kekalahan terbaru 1-3 kepada Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Spurs seterusnya akan bertandang ke laman Eintracht Frankfurt bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok selepas mereka tewas kepada Sporting Lisbon sebelum waktu rehat antarabangsa lalu.

Walaupun prestasi Spurs kelihatan kian merudum, Conte membidas persepsi bahawa pasukannya menggunakan taktikal yang negatif dan pengendali berbangsa Itali itu mendakwa dia mampu mengajar semua orang tentang bola sepak dan dia tidak pernah dibolosi enam, tujuh atau lapan gol dalam satu perlawanan -- sehari selepas Manchester United tewas 3-6 kepada Manchester City.

"Saya fikir ia berdasarkan perwatakan pemain yang kami ada untuk mempertahankan situasi, dan jika kami dapat mengeksploitasi situasi itu, terutama ketika hantaran terakhir, kami dapat menjaringkan banyak gol ke atas Arsenal.

"Sebaliknya, kami melakukan beberapa kesilapan besar sewaktu hantaran terakhir kerana kami mendapat peluang satu lawan satu tetapi setiap pasukan perlu berfikir dan faham mengenai cara untuk bermain secara berbeza.

"Jadi, saya mengulanginya bahawa kami menang 3-0 musim lalu dengan cara yang sama, kemudian apabila anda kalah, anda perlu memberikan penjelasan dan apabila anda menang, lawan anda perlu memberikan penjelasan tetapi bagi saya, adalah penting untuk mencuba untuk memiliki perancangan, untuk meletakkan pemain di posisi yang betul untuk mengeksploitasi perwatakan mereka.

"Jika tidak, ia boleh berlaku di mana anda dibolosi enam, tujuh atau lapan gol.

"Di England, ia biasa terjadi. Dalam karier saya, ia tidak pernah berlaku dan saya tidak suka bermain secara terbuka dan memberikan banyak ruang dan kemudian dibolosi enam, tujuh atau lapan gol.

"Ia banyak berlaku di England. Saya pernah menjadi juara di England dan saya pernah menjadi juara sebelum ini dan saya fikir saya boleh mengajar tentang bola sepak kepada ramai orang," katanya.