Graham Potter berasakan Chelsea telah menunjukkan kemajuan di bawah pengurusannya tetapi mengakui masih ada tugas yang perlu dilakukan demi melihat The Blues kembali ke puncak.

Bekas pengurus Brighton & Hove Albion itu dilantik menggantikan Thomas Tuchel pada September lalu apabila pemilik baru, Todd Boehly, memilih untuk mengubah hala tuju di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, prestasi buruk selepas Piala Dunia di Qatar menyaksikan Potter di bawah tekanan hebat sebelum merakamkan tiga kemenangan berturut-turut selain mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Keputusan seri 2-2 bertemu Everton kelmarin apabila The Toffees meledak gol penyamaan terakhir, sekali gus menyekat hajat mereka untuk melebarkan rentak kemenangan, namun Potter masih menganggap pasukannya anak buahnya sedang mengorak langkah ke hadapan.

“Sudah beberapa minggu kami mengharungi suasana yang tegang,” katanya kepada laman sesawang kelab itu.



"Kami mengharungi beberapa minggu yang baik. Jelas sekali kami mahu mendapatkan kemenangan keempat dan memasuki rehat antarabangsa ini dengan kemenangan.

"Kami perlu terus memikirkan bagaimana kami boleh bergerak ke hadapan dan apa yang perlu kami lakukan dengan lebih baik lagi. Kestabilan, keserasian dan semangat dalam kumpulan menjadi sangat positif sepanjang bulan-bulan yang sukar.

"Sebelum Piala Dunia, keamatan perlawanan dan siri kecederaan yang kami alami adalah tidak masuk akal.

"Jendela perpindahan memberi ruang untuk kami memancing pemain muda yang dapat bekerjasama dengan baik. Masih banyak yang perlu dilakukan."