Julian Nagelsmann dilaporkan tampil menjelaskan bahawa dia bukan lagi seorang calon untuk menjadi pengurus baru Chelsea.

Nagelsmann dipecat secara mengejut oleh Bayern Munich bulan lalu dengan Tomas Tuchel dipilih untuk menggantikan tempatnya bersama pasukan gergasi Bavaria itu, yang sedang berusaha menyekat Borussia Dortmund daripada memintas mereka dalam perebutan gelaran Bundesliga musim ini.

Dengan mendapat tumpuan besar berdasarkan kejayaannya sewaktu membimbing Hoffenheim dan RB Leipzig sebelum memacu Bayern menjuarai Bundesliga musim lalu, dia dilihat menjadi antara calon untuk menggantikan Graham Potter di Stamford Bridge.

Nagelsmann sebelum ini dilaporkan sudah berbincang dengan Chelsea untuk mengisi kekosongan berkenaan selepas tamat kempen musim ini tetapi laporan yang tersebar luas sejak semalam mendakwa bahawa dia sudah terkeluar daripada perebutan kerusi panas itu.

Ditanya mengenai laporan itu oleh Sky Sports di Jerman, Nagelsmann berkata: "Untuk membatalkan sesuatu, anda perlu komited kepada sesuatu."

Chelsea kini menduduki tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gagal memenangi kesemua lima perlawanan terakhir dalam kejohanan itu dengan kali terakhir mereka mencatatkan kemenangan adalah ketika menewaskan Leicester City sewaktu masih lagi di bawah kendalian Potter pada 11 Mac lalu.

Sejak melantik Frank Lampard selaku pengurus sementara sehingga penghujung musim ini, Chelsea tewas empat perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan, termasuk sewaktu tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di tangan Real Madrid awal pagi Rabu lalu.