Manchester United menandatangani Marcel Sabitzer secara pinjaman daripada Bayern Munich sehingga penghujung musim ini.

Pemain kebangsaan Austria berusa 28 tahun itu menjadi sasaran Erik ten Hag pada hari terakhir jendela perpindahan selepas Christian Eriksen terpaksa berehat sehingga April depan gara-gara kecederaan.

Ten Hag semalam berkata bahawa United tidak memerlukan pembelian tergesa-gesa untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Eriksen.

Bagaimanapun, keberadaan Sabitzer mengubah perkara itu dan pemain berkenaan kini sah akan ke Old Trafford bagi memperkuatkan jentera tengah United sehingga penghujung musim ini.

United mengesahkan ketibaan Sabitzer dalam laman web rasmi mereka selepas sejam jendela perpindahan ditutup, di mana mereka berhasil menghantar kertas kerja yang relevan pada waktu yang ditetapkan.

"Adakala dalam hidup, anda perlu melakukan keputusan penting dengan segera," kata Sabitzer dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Pada ketika saya mendengar mengenai peluang ini, saya sedar ia amat sesuai untuk saya.

"Saya seorang pemain yang kompetitif, saya mahu menang dan membantu kelab ini mencapai sasaran musim ini.

"Saya berasakan yang saya sedang berada di kemuncak sebagai seorang pemain dan dengan itu, saya boleh memberikan banyak sumbangan daripada segi pengalaman dan tenaga dalam skuad ini.

"Saya teruja untuk memulakannya dengan rakan sepasukan dan pengurus, dan menunjukkan kualiti yang saya miliki kepada penyokong Manchester United," katanya.

Sabitzer menyertai Bayern daripada RB Leipzig menjelang musim 2021-22 tetapi berdepan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan.

Dia melakukan 40 penampilan bersama pasukan juara Bundesliga itu tetapi hanya 15 daripadanya sebagai kesebelasan utama.

Dia berkemungkinan besar akan melakukan penampilan pertamanya bersama United ketika berdepan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.