Jurgen Klopp percaya Darwin Nunez akan menemui jaringan tidak lama lagi selepas penyerang itu mempamerkan aksi luar biasa ketika Liverpool menewaskan Aston Villa pada Boxing Day awal pagi tadi.

Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Stefan Bajcetic berada dalam senarai penjaring untuk Liverpool kembali meneruskan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 3-1 di Villa Park, di mana Nunez mempamerkan aksi penuh bertenaga.

Nunez memperoleh peluang terbanyak dengan melakukan enam percubaan, empat daripadanya merupakan percubaan tepat, tetapi dia tidak dapat menyudahkan mana-mana peluang itu.

Ketika ramai mengkritik aksi tidak tekal Nunez di depan gawang lawan, Klopp, bagaimanapun, langsung tidak gusar dengan perkembangan pemain Uruguay itu.

"Ia luar biasa, ia sememangnya aksi luar biasa daripadanya," kata Klopp kepada Amazon Prime Video selepas kemenangan itu, yang meletakkan Liverpool kini hanya lima mata di belakang kelompok empat teratas.

"Sudah pasti dia akan menjaringkan gol. Ia satu situasi yang kerap berlaku kepada penyerang dan semuanya akan baik-baik sahaja.

"Permainannya amat luar biasa."