Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berbangga dengan pencapaian pasukannya sepanjang 2022, termasuk layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), yang diakui tidak mahu diingatinya.

The Reds menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku naib juara di belakang Manchester City musim lalu dengan perebutan kejuaraan berkenaan berlanjutan sehingga ke hari perlawanan terakhir.

Liverpool turut memenangi dua piala domestik, iaitu Piala FA dan Piala EFL, dengan kedua-duanya hasil menewaskan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Wembley.

Bagaimanapun, mereka menamatkan musim dengan kekecewaan apabila tewas kepada Real Madrid dalam final UCL di Paris.

"Daripada sudut pandang sukan, 2022 merupakan tahun yang agak berjaya, saya boleh katakan seperti itu," kata Klopp dalam laman web rasmi Liverpool.

"Ia bermula dengan final Piala EFL. Final Piala FA juga amat istimewa, saya amat menikmatinya.

"Kemudian saingan liga amat luar biasa. Kita sekali lagi amat hampir, saya tahu ia tidak berapa dihargai, saya memahaminya, apabila anda terlalu hampir.

"Tetapi dari sudut pandang seorang jurulatih, saya agak berbangga dengannya.

"Final UCL, (penjaga gol Madrid, Thibaut) Courtois memiliki hari yang agak baik. Kami melakukannya dengan agak baik tetapi segalanya serba tidak kena pada malam itu, ia tidak berasa terlalu asing apabila kami tidak mengetahui apa yang berlaku selepas perlawanan itu pada ketika kami sudah tewas.

"Tetapi apabila kami mendengari kisah yang berlaku di luar stadium daripada keluarga kami, ia jelas malam yang istimewa tapi bukan dengan sebab yang sepatutnya. Jadi, ia bukan final UCL untuk diperingati."

Liverpool akan meneruskan saingan EPL musim ini dengan bertandang ke laman Aston Villa pada Boxing Day.