Keputusan Roberto Firmino untuk meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini membuatkan Jurgen Klopp berasa terkejut walaupun dia menghormati keputusan penyerang itu.

Pemain Brazil itu memaklumkan kepada kelab berkenaan bahawa dia mungkin meninggalkan mereka selepas kontraknya tamat pada penghujung musim ini, sekali gus menamatkan era gemilangnya selama tujuh tahun di Anfield.

Firmino menerima sambutan yang luar biasa sebaik dia menjaringkan gol terakhir Liverpool sewaktu membelasah Manchester United 7-0 hujung minggu lalu, tidak lama selepas memaklumkan keputusannya untuk meninggalkan kelan berkenaan.

Sebagai seorang yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Merseyside, Firmino merupakan pemain kegemaran peminat sepanjang berada di kelab itu dan Klopp jelas terkejut dengan keputusan berkenaan.

"Benar, saya agak terkejut tetapi saya tidak terpukul dengan perasaan itu, sebenarnya ia adalah perkara yang normal untuk berlaku.

"Ia boleh berlaku dengan dua cara dan ia salah satu daripadanya.

"Dan saya amat menghormati keputusan itu. Ia amat normal dalam hubungan panjang yang kami ada bersama Bobby bersama kelab ini dan dengan kebanyakan pemain dan perkara seperti itu, dan sudah tentu dengan kesemua penyokong juga.

"Ia agak istimewa dan saya gemarkan penerimaan yang diterimanya ketika dia turun menentang United.

"Dia memberitahu saya dan satu-satunya perkara lain yang dia katakan adalah, 'kini saya mahu membawa kisah indah ini kepada penamat yang positif'.

"Jadi, begitulah. Dia masih berada di sini dan amat komited seperti yang semua orang boleh bayangkan dan hanya itulah yang kita semua perlu tahu," katanya.