Kepulangan Reece James bersama Chelsea terencat apabila pertahanan itu mengalami kecederaan berulang, yang turut menyaksikan dia terlepas kempen bersama England dalam Piala Dunia Qatar 2022 bulan lalu.

Bek kanan itu terpaksa melupakan kempen di Qatar berkenaan selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang AC Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 11 Oktober lalu.

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth di Stamford Bridge awal pagi tadi merupakan aksi pertamanya sejak kembali menjalani latihan penuh awal bulan ini.

Bagaimanapun, dia hanya dapat beraksi selama 51 minit sebelum kecederaan itu kembali menghantuinya, pada ketika Chelsea sedang mendahului 2-0.

James kelihatan terpelecok sewaktu perebutan bola dengan pemain Bournemouth, Jaidon Anthony, dan dia kemudian segera memberikan isyarat kepada bangku pemain simpanan pasukannya untuk digantikan.

Dia kemudian terbaring di padang, menutup mukanya dan kelihatan sedang mengalami kesakitan.

James dirawat pegawai perubatan Chelsea sebelum boleh berdiri dan berjalan keluar daripada lapangan, dan sempat memberitahu keadaannya kepada pengurus, Graham Potter.

Sebelum ini, Potter berkata James sudah berada dalam kadaan yang baik selepas terlepas saingan Piala Dunia di Qatar.