Moises Caicedo telah memaklumkan kepada Brighton and Hove Albion mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan itu selepas Arsenal dilaporkan melancarkan bidaan sebesar £60 juta (RM315.27 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Ecuador berkenaan.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata The Seagulls hanya akan menyekat peluang keemasannya seandainya memilih untuk tidak menjualnya dalam jendela perpindahan kali ini.

Chelsea turut dilaporkan berminat untuk mencapatkan Caicedo pada ketika Brighton tidak lagi mahu kehilangan pemain penting selepas Leandro Trossard memilih untuk menyertai pendahulu liga, Arsenal, minggu lalu berikutan hubungan tegangnya dengan ketua jurulatih, Roberto De Zerbi.

De Zarbi menggesa Caicedo untuk kekal di Stadium Amex tetapi pemain itu kelihatan sudah membulatkan tekadnya.

Caicedo mengeluarkan satu kenyataan buat pemilik kelab itu, Tony Bloom, dalam Instagram sambil berharap penyokong Brighton dapat memahami sebab keinginannya untuk meninggalkan pasukan berkenaan.

"Saya mahu berterima kasih kepada Encik Bloom dan Brighton kerana memberikan peluang untuk saya datang ke Liga Perdana Inggeris (EPL). Saya sentiasa bermain dengan senyuman dan sepenuh hati," kata Caicedo dalam kenyataan itu.

"Saya anak bongsu daripada 10 adik-beradik dan daripada keluarga susah di Santa Domingo di Ecuador.

"Impian saya sentiasa mahu menjadi pemain terbaik dalam sejarah Ecuador.

"Saya amat berbangga untuk dapat menjadi pemain dengan rekod perpindahan termahal buat Brighton, yang akan membolehkan mereka untuk melakukan pelaburan semula dan membantu kelab ini untuk terus berjaya.

"Penyokong telah meletakkan saya di hati mereka dan mereka sentiasa berada di hati saya, jadi saya harap mereka dapat faham sebab saya mahu mengambil peluang keemasan ini," katanya.