Arsenal melengkapkan perpindahan Leandro Trossard daripada Brighton and Hove Albion dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £27 juta (RM143.35 juta).

Pemain kebangsaan Belgium itu bersetuju untuk mengikat kontrak jangka panjang di Stadium Amirates, yang dijangka hanya akan berakhir pada Julai 2027.

Arsenal tidak berahsia tentang keinginan untuk memperkuatkan jentera serangan mereka bulan ini dengan Mykhaylo Mudryk pada awalnya menjadi sasaran utama mereka.

Bagaimanapun, Chelsea menandatangani pemain kebangsaan Ukraine itu minggu lalu selepas Mudryk menyatakan keinginannya untuk berhijrah ke London.

Sejak permulaan musim ini, Trossard menjadi antara tujuh pemain yang menjaringkan sekurang-kurangnya 14 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- tidak termasuk jaringan penalti -- dan mencipta lebih daripada 65 peluang daripada permainan terbuka -- enam pemain lain ialah Harry Kane, Mohamed Salah, Kevin De Bruyne, Martin Odegaard, Bukayo Saka dan Bruno Fernandes.